Isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam hari ini menarik minat
ahli-ahli Parlimen beragama Islam baik yang mewakili Barisan Nasional mahu
pun kerajaan untuk membahaskannya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Di pihak anggota Barisan Nasional (BN), mereka mendesak kerajaan bertegas
mengkhususkan kalimah Allah hanya untuk orang Islam manakala Dr. Dzulkifli
Ahmad (Pas- Kuala Selangor), Ir. Khalid Samad (Pas-Shah Alam) dan Datuk
Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pula berpendapat sebaliknya.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencelah ketika Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggulung usul
perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong menyifatkan
penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebagai merbahaya dan menghina
Islam.
Menurut beliau, jika dibenarkan juga, ia boleh mengakibatkan mala petaka
kepada negara selain menimbulkan kekeliruan kepada generasi umat Islam
seolah semua agama itu adalah satu.
Perkara yang sama turut dikongsi Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan beliau
meminta penjelasan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah
mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih
dahulu berhubung hal ini.
Belum sempat Ahmad Zahid menjawab, Dr. Dzulkifli mencelah mempertikaikan
langkah kerajaan itu sambil mengemukakan beberapa hujah.
Beliau berkata, persoalan itu tidak patut timbul kerana ia diakui al-Quran
sendiri bahawa kalimah Allah turut digunakan oleh bukan Islam.
Ir. Khalid Samad yang menyokong pandangan Dzulkifli itu kemudian terus
mengukuhkan hujah mereka dengan membaca sepotong lagi ayat al-Quran yang
menunjukkan orang bukan Islam mengakui bumi ini diciptakan Allah.
``Jadi Allah bukan satu kalimah yang khusus untuk orang Islam. Ia merupakan
kalimah bahasa Arab. Daripada perkataan Illa dan ditambahnya Al menjadi
Al-illah dan dipendekkan menjadi Allah.
``Ia bukan nama peribadi kerana tak perlu memandangkan ia satu. Keduanya,
kalau kita anggap nama peribadi kepada tuhan, maka ia perkataan Arab, jadi
orang kata ia tuhan kepada Arab.
``Kalau kita nak fahamkan mesej Islam yang sebenar iaitu memanggil semua
manusia tunduk kepada tuhan yang satu iaitu Allah, patut kita berasa bangga
apabila bukan Islam menggunakan perkataan Allah - sama dengan kita.
``Berbanding Eropah, kita di sini nak khusus Allah tuhan orang Islam,
Melayu sahaja. Ini satu penyakit yang kita perlu betulkan. Saya khuatir
akan melanggar apa yang disebut dalam al-Quran,'' jelasnya.
Tidak cukup dengan itu, Johari Abdul mencelah dengan berkata, berdasarkan
pengalaman bergaul dengan bukan Islam termasuk ke kuil, ramai yang
mengatakan mereka turut menyembah satu tuhan iaitu tuhan Allah.
``Saya rasa mereka di Malaysia dah sampai tahap iktiraf satu tuhan. Saya
tak nampak satu tuhan itu kita nak sekat,'' katanya.
Melihat kepada perbincangan terbuka itu, Datuk Seri Tiong King Sing
(BN-Bintulu) meminta Dewan mengeluarkan arahan supaya isu itu dibincangkan
dengan mereka yang pakar dalam jawatankuasa khas.
Beliau berkata, ini kerana perbahasan terbuka mengenai isu tersebut boleh
membangkitkan kekeliruan dan emosi yang tidak sepatutnya.
Sebelum Ahmad Zahid memberi penjelasan, beberapa anggota BN termasuk Ahmad
Maslan dan Datuk Halimah Mohd. Sadique (BN-Tenggara) meminta Taib Azamudden
Mohd. Taib (Pas-Baling) memberikan pandangan.
Beliau adalah anggota Dewan yang mempunyai latar belakang agama berbanding
dua wakil Pas yang bercakap mengenai hal itu iaitu Khalid dan Dzulkifli
merupakan golongan profesional.
Tambahan pula, Taib Azamudden ketika perbahasan menyentuh pengharaman yoga
telah berjaya memberikan penjelasan yang diterima semua anggota Dewan
mengapa amalan itu patut diharamkan.
Beliau bersetuju memenuhi permintaan mengenai isu kalimah Allah
menjelaskan, yang beliau terpanggil memberikan pandangan bukan sebab
kepartian tetapi berfokus kepada memelihara kesucian Islam.
Ketika melontarkan pandangan selama hampir 10 minit, Taib Azamudden
menyimpulkan bahawa isu tersebut perlu dilihat kepada `waqiq' iaitu
kesesuaian setempat yang mana dunia Melayu adalah berbeza dengan yang
terdapat di Eropah atau dunia lain.
Beliau yang juga bekas Imam Masjid Negara berkata, berdasarkan latar
belakang Malaysia yang penganut Islamnya berbangsa Melayu, maka jika
dibenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, maka ia boleh menimbulkan
kekeliruan.
``Setakat hari inilah, ke depan Wallahualam, kalau dibuka (kepada bukan
Islam guna kalimah Allah) saya yakin, ia akan menjadi kekeliruan dan
perbalahan yang mungkin membangkit sensitiviti.
``Akan jadi keliru bila ditanya kepada sahabat yang beragama Hindu
contohnya, anda nak pergi mana? Pergi sembah Allah dan bila tanya yang
Islam pun, dia kata nak sembah Allah juga.
``Sebab itu saya lebih suka dalam konteks ini yang menyentuh akidah dan
agama, kita tak payah sibuk-sibuk dengan parti. Keharmonian yang mahal ini
kena dijaga oleh semua pihak,'' ujarnya.
Taib Azamudden pada masa sama berkata, persoalan tentang isu ini telah
dibahaskan para ulama terkemuka terdahulu dan hasilnya mereka berbeza
pendapat.
``Saya faham yang di dalam al-Quran ada menyebut penggunaan kalimah Allah
oleh bukan Islam. Kalau bincang tentang Allah dalam konteks Islam yang
berkonsep tauhid, ia hanya pada Islam, tak ada yang lain.
``Sebab itu kalau nak bahas mengenai masalah Allah yang disebut dalam
al-Quran, kita kena lihat juga asbabun Nuzul (sebab diturunkan al-Quran).
``Kalau kita nak buka mengenai Allah pada yang lain-lain, al-Quran juga
menyebut dalam surah Taubah yang Yahudi kata Uzir itu anak Allah dan
Kristian kata al-Masih anak Allah.
``Jadi secara ringkas, Allah yang dimaksudkan Yahudi dan Masihi itu adalah
lain daripada yang dimaksudkan oleh Islam. Sebab ketauhidan tidak menjadi
satu tunggak kepada agama yang lain selain dari Islam.
``Bagi kita Allah tidak beranak dan tidak diberanakkan. Jadi kementerian
kena tegaskan Allah dalam bentuk mana yang dimaksudkan (dilarang diguna
bukan Islam),'' ujarnya.
Mendengar penjelasan panjang lebar dari Taib Azamudden itu yang sejajar
dengan kenyataan Jakim sebelum ini, kedengaran beberapa anggota kerajaan
yang berkata, ``dengar tu `ustaz Erdogan'’ bagi merujuk kepada Khalid dan
Dzulkifli.
Sebelum isu Allah dibangkitkan, Khalid turut berhujah mengenai pengharaman
yoga yang disifatkan sebagai satu bentuk riadah tetapi Taib bangun
menjelaskan dan menyokong pengharaman tersebut seterusnya meredakan
perbahasan mengenainya.
Ahmad Zahid dalam penjelasannya menegaskan apa yang dinyatakan oleh Taib
itu adalah sama seperti yang menjadi pandangan kerajaan.
Malah katanya, dalam hal ini soal kalimah Allah adalah sepatutnya
diputuskan oleh Majlis Raja-Raja.
``Sebab itu permohonan kita bersama tujuh majlis agama negeri serta
Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dalam kes mahkamah berhubung isu ini
adalah untuk merujuk kepada Majlis Raja-Raja memutuskannya.
``Dan ingin saya tegaskan di sini juga, larangan penggunaan nama Allah
telah termaktub dalam Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada
Orang Islam yang diwartakan di 10 buah negeri,'' tegasnya.
No comments:
Post a Comment