
Hati² kalo nk bergurau tu...
KUALA LUMPUR: Gara-gara jenaka tidak bertempat, seorang pelajar institut pengajian tinggi diberkas polis selepas mendakwa kononnya bertanggungjawab membakar gereja baru-baru ini melalui laman sosial Facebook miliknya.
Pelajar lelaki berusia 25 tahun berkenaan yang mengaku sengaja membakar gereja di Petaling Jaya, di sini, menimbulkan rasa terkejut kepada rakan-rakannya yang membaca tulisannya itu.
Dia yang juga pelajar diploma jurusan warisan budaya sebuah kolej di ibu kota mendakwa membuat sendiri bom petrol berkenaan yang digunakan untuk membakar gereja itu Jumaat lalu.
Susulan itu, beberapa pihak yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan polis sebelum pelajar itu ditahan di rumah sewanya di Sunway Mentari, Petaling Jaya di sini kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, sebelum dibawa ke balai polis untuk disoal-siasat.
Bagaimanapun, pelajar itu dibebaskan kira-kira jam 12 tengah malam semalam selepas siasatan mendapati dia tidak terbabit dengan insiden itu dan mengaku tulisannya dalam laman sosial itu hanya satu gurauan semata-mata.
Siasatan polis dalam rumah pelajar berkenaan turut tidak menemui perkakas mencurigai yang boleh dikaitkan dengan pembuatan bom petrol.
Difahamkan, kes terbabit tangkapan pertama individu dikaitkan dengan beberapa kes siri cubaan membakar gereja di beberapa lokasi sejak Jumaat lalu susulan protes penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald.- The Catholic Weekly.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pelajar itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya selepas polis menerima maklumat mengenai tulisannya dalam Facebook.
Menurutnya, pelajar itu sudah dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan.
"Kita kesal dengan tindakan yang dilakukan pelajar ini kerana cuba mempermainkan isu-isu yang sensitif dan boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.
"Saya beri amaran, jangan cuba bermain isu sensitif seperti ini kerana kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan membuat tangkapan," katanya ketika dihubungi.
No comments:
Post a Comment